KENINGAU : Tamu Solidariti KSFX telah berjaya disempurnakan pada 1 Oktober 2017. Tamu Solidariti kali ke-15 ini bertempat di Dataran Keuskupan Keningau.
Umat-umat daripada setiap KUK, KKD dan juga Zon sekitar Paroki Keningau datang bersama untuk menyokong dan memeriahkan lagi Tamu Solidariti. Turut menghadirkan diri Datuk Jake Jikulin Nointin dan isteri serta rombongan.
Tamu Solidariti merupakan salah satu program yang diadakan setiap tahun di paroki KSFX untuk mencari dana bagi keperluan-keperluan pastoral. Selain itu juga, Tamu Solidariti merupakan salah satu persiapan dalam manyambut Jubli Perak Keuskupan Keningau pada tahun 2018. Tamu Solidariti juga diadakan untuk membantu dalam pembangunan gereja-gereja stesen luar Paroki KSFX juga pembangunan Pusat Ziarah Keluarga Kudus Nulu Sosopon. Setiap pembelian adalah dengan menggunakan kupon.
Majlis dimulakan dengan Tarian Tradisional bagi menyambut kedatangan Bishop Datuk Cornelius Piong dan para tetamu jemputan. Seterusnya sesi ucapan alu-aluan dan perasmian Tamu Solidariti yang dilaksanakan oleh Bishop sendiri.
Saudara Paul Jawa selaku Pengerusi juga wakil bagi Tim Perlaksana Tamu Solidariti mengucapkan kesyukuran ke atas keterlibatan semua pihak sekitar Paroki KSFX dan sokongan-sokongan umat serta penderma-penderma. Beliau juga berterima kasih atas sokongan dan keparcayaan yang diberikan oleh Uskup, para paderi dan Komuniti Religius kepada Tim Perlaksana sehingga Tamu Solidariti dapat berlangsung dengan jayanya.

Pelbagai acara yang disediakan dalam Tamu Solidariti ini. Antaranya ialah jualan makanan, minuman, beras, sayur-sayuran dan macam-macam lagi. Disamping itu, terdapat juga gerai-gerai yang menyediakan permainan mini untuk menarik perhatian umat yang datang. Persembahan pentas, cabutan tiket bertuah, karaoke terbuka dan sumbangan lagu juga diadakan bagi memeriahkan lagi suasana Tamu Solidariti.
Article reproduced from Diocese of Keningau
















